Cara Jimat Untuk Mengelakkan Terlebih Belanja

Kalau kita tidak mahu berdepan dengan masalah kewangan, kita perlu menguasai teknik penyimpanan wang yang baik. Ini tidak bermaksud kita kena simpan sahaja setiap wang yang kita ada, tetapi kita juga perlu tahu bagaimana mengelakkan diri daripada berbelanja lebih.

Majoriti orang sekarang mempunyai masalah ini, dan ini salah satu sebab mengapa begitu banyak orang yang walaupun dia sudah bekerja keras, bijak dan berbakat… dia masih mempunyai masalah kewangan.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh digunakan untuk mengelakkan diri daripada berbelanja lebih dari yang sepatutnya dan mendidik kita menggunakan wang dengan sebaik-baiknya.

 

 

1. Gunakan peraturan 30 hari

Tuliskan dan senaraikan semua barang yang kita inginkan(bukan barang-barang keperluan) di kertas dan disebelahnya pula tuliskan tarikhnya. Selepas itu, tunggu sekurang-kurangnya 30 hari sebelum kita nak membeli barang-barang yang dah disenaraikan tadi.

Sepanjang 30 hari dari tarikh yang ditulis, cubalah cari tempat yang menjual barang-barang yang disenaraikan tadi.

Tapi diingatkan selagi jangkamasa 30 hari  belum dipenuhi, jangan beli apa-apa yang disenaraikan.

Selepas tempoh 30 hari, tanyalah pada diri sendiri barang tersebut memang perlu dibeli ataupun tidak. Percayalah, kita akan pilih barang yang kita perlu dan penting sahaja. Teknik ini dapat mengelakkan kita daripada membeli barang yang tidak penting.

 

2. Simpan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji kita

Sikap awal orang kaya dan berduit bermula daripada bagaimana mereka menyimpan wang. Majoriti manusia akan menggunakan gaji sepenuhnya untuk perkara lain dan bila taktau nak buat apa dengan duit tu barulah terfikir nak menyimpan.

Nak bayar bil astro, beli baju, beli jam tangan baru, dan macam-macam lagi tetapi bila sampai akhir bulan, satu sen pun tak dapat disimpan.

Sebaiknya, buat simpanan untuk diri kita sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan kita sebelum dibelanjakan pada benda lain.

Lama-kelamaan, wang yang disimpan itu akan bertambah. Dari duit itulah, kita boleh gunakan untuk menambah simpanan kita seperti membuat bisnes kecil-kecilan dan membuat pelaburan.

 

3. Tulis senarai sebelum pergi membeli-belah dan berpegang kepadanya

Biasanya, kita lebih cenderung membeli barang yang tidak penting jika kita tidak senaraikan barang yang ingin dibeli.

Cuba pergi ke kedai 2CO(kedai RM2) dengan tidak membawa senarai barang yang nak dibeli. Nak taknak kita akan TERbeli juga barang yang kita tak perlu.

Ini semua perlukan duit(walaupun RM2)!

Sebelum kita membelanjakan duit gaji kita, senaraikan barang-barang yang kita nak beli dengan teliti. Yang paling penting sekali, berpeganglah dan patuh dengan senarai yang dituliskan itu.

 

4. Jangan menonton TV

Apabila kita menonton tv yang dilanggan ataupun berbayar, kita tak sedar kebanyakan program tv yang ditonton tu kita boleh tahu beritanya dan kisahnya melalui online dan kebanyakan program TV yang dilanggan itu kita tak dapat tengok sepenuhnya.

Secara tersiratnya, kita dah banyak membuang masa dengan menonton TV.

Masa adalah emas(boleh menjadi wang), dan apabila kita membuang masa, kita juga dah membazirkan wang. Jadi, melanggan TV ini seolah-olah kita membayar sesuatu untuk wang kita dihilangkan.

Semenjak beberapa bulan yang lepas, saya cuba mengelakkan diri dari menonton TV lebih dari 30 minit sehari. Dari situ, banyak perkara penting yang dapat dibereskan dengan tidak menonton TV. Rasanya kalau dihentikan langganan tv ni dapatlah guna duit langganan tu untuk perkara yang berfaedah.

Bayangkan diri kita tak perlu lagi bayar bil astro, tak terpengaruh dengan iklan-iklan TV, bil elektrik dapat dikurangkan dan yang paling penting sekali… MASA dapat digunakan dengan sebaik-baiknya. Banyak faedahnya, kan!

 

5. Lebih banyak kita menyimpan, lebih banyak yang kita perolehi

Sebenarnya, menyimpan wang adalah lebih mudah jika kita dapat memperoleh banyak wang.

Daripada kita fokus untuk menyimpan wang sahaja, apa kata sekarang kita fokus untuk meningkatkan kemahiran kita supaya kita dapat memperoleh wang yang kita inginkan. Tapi hati-hati jangan terpengaruh dengan skim cepat kaya dan perkara-perkara yang berkait dengannya.

Seperti yang kita biasa nampak di instagram, ramai pengusaha muda akan menunjuk kemewahan apabila mereka mendapat keuntungan dalam berbisnes. Kalau tidak berhati-hati dalam menguruskan kewangan, simpanan pun boleh jadi zero. Janganlah jadi begitu ye.

Walaupun kita mendapat keuntungan yang tidak disangka-sangka atau dinaikkan gaji, jagalah perbelanjaan wang kita seperti yang kita pernah buat sejak awal.

Disiplinkanlah diri untuk menyimpan wang dan gunakan wang tersebut dengan sebaik-baiknya walaupun rezeki wang kita semakin bertambah. Be humble!

 

Dengan tips ini, saya yakin kita akan berjaya menyimpan wang dalam masa yang singkat.  Banyakkan membaca buku yang berfaedah, tingkatkan prestasi diri dan gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya. Jangan lupa untuk bersedekah juga.

 

Sharing is caring:

Leave a Reply

avatar
  Subscribe  
Notify of