Anda seorang content creator? Atau ada membuat bisnes online? Mesti selalu dengar pasal ‘niche’, kan? Dalam post ini saya akan cuba menerangkan tentang NICHE dengan lebih mendalam.

Kebanyakan peniaga online yang baru berjinak-jinak membuat content, saya lihat ramai yang tidak pasti bagaimana mencari niche yang tepat.

Kalau nak mencari informasi tentang ‘cara membuat duit secara online’, memang berlambak.

Ada bermacam-macam cara dan panduan untuk membuat bisnes secara online seperti affiliate marketing, dropship, menjual t-shirt dan sebagainya.

Bagi orang yang baru bermula membuat bisnes online, pasti berasa teruja sebab senang nak mendapatkan kemudahan dan info tentang ilmu bisnes online sekarang ini. Semuanya hanya di hujung jari.

Dengan adanya terlalu banyak informasi, ada satu perkara penting yang kita perlu cari tetapi tidak ramai yang mampu menolong kita mencarinya. Apakah itu? Itulah NICHE.

Pentingnya mencari niche

Antara persediaan awal membuat content, mencari niche-lah proses yang paling rumit sekali. Saya sendiri merasakan inilah topik yang paling mencabar untuk ditulis.

Sepanjang perjalanan menjadi seorang content creator atau peniaga online, anda tidak boleh terlepas dengan niche ini. Pasti ada yang bertanya “Niche awak apa?”.

Tidak kiralah anda membuat affiliate marketing, bisnes dropship, membuat content, menjadi youtuber, menulis blog dan seumpamanya. Anda pasti terfikir “Apa Niche aku ye?”.

Saya tahu terdapat banyak blog dan artikel di luar sana yang menerangkan tentang niche. Tapi di sini saya ingin kongsikan pengetahuan dan pengalaman saya sendiri. Saya perhatikan banyak informasi yang tidak tepat yang beredar secara online bila orang memperkatakan tentang niche.

Tapi saya tidak berminat untuk memperkatakan tentang sebutan niche yang betul. Sebutlah mana-mana yang anda rasa betul. Yang penting, anda kena faham konsep niche itu secara mendalam.

Dalam banyak² perkara, mencari 'niche'lah yang paling rumit.

Mungkin apa yang saya kongsikan ini bertentangan dengan apa yang anda pernah pelajari sebelum ini.

Saya pernah alami sendiri bagaimana rasanya ketika membuat blog yang fokus kepada niche tertentu.

Sebenarnya, bukan mudah untuk mendapatkan niche yang tepat dalam masa yang singkat. Saya pun melalui proses  yang sangat lama hanya untuk menentukan niche untuk setiap blog saya.

Apa-apa pun, jom kita mulakan sekarang.

niche-untuk-content

Apa itu niche?

Niche adalah satu topik,aktiviti atau kategori tertentu. Setelah mengetahui niche, anda perlu fokus membuat content berdasarkan niche itu nanti.

Sebagai contoh, Nana adalah seorang pencinta kucing yang tahu segala-galanya tentang kucing. Nana BUKANLAH seorang doktor haiwan atau mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

Tetapi Nana mempunyai banyak pengalaman, amat menyukai kucing, membela kucing sejak kecil dan kawan-kawan menggelarkannya ‘bestfriend meow’.

Jika Nana ingin membuat content, dia ingin kongsikan apa sahaja tentang kucing. Daripada contoh ini, apakah niche Nana?

Niche Nana adalah Haiwan Peliharaan. Sub-niche adalah Kucing.

Kalau Nana ingin menjadikan sub-nichenya lebih spesifik lagi, itulah yang dipanggil sebagai Micro Niche.

Gambaran niche, sub-niche dan micro niche.

Perbezaan antara Micro niche dan Niche Market

Micro Niche adalah topik atau kategori yang lebih spesifik daripada sub-niche dan biasa ditentukan oleh orang yang ingin membuat content(content creator).

Micro niche adalah niche yang lebih spesifik

Kalau anda lihat, kebanyakan blog mempunyai kategori-kategori tertentu yang lebih spesifik.

Contohnya, sub-niche adalah Kucing. Micro niche nya adalah seperti:

  • tips membela kucing
  • makanan kucing
  • pakaian kucing
  • aksesori kucing
  • ubat-ubatan kucing
  • permainan kucing
  • dan sebagainya.
Contoh: Niche= Haiwan peliharaan, Sub-niche= Kucing dan Micro-niche= makanan kucing, permainan kucing dan sebagainya.

Niche market adalah sebahagian daripada market yang luas yang dijadikan lebih spesifik supaya dapat fokus kepada target audience tertentu. 

Niche Market lebih fokus kepada orang yang berniaga atau membuat jualan online.

Contohnya,

Niche: Pakaian Muslimah
Produk: Tudung Labuh
Niche Market: Tudung Labuh untuk pengantin.

Niche Market= Tudung labuh untuk pengantin, pelajar, guru ataupun emak-emak.

Cara Menentukan Micro niche dan Niche Market

Cara menentukan Micro Niche(untuk membuat content) adalah lebih kurang sama dengan cara menentukan Niche Market(untuk membuat penjualan).

Micro Niche boleh diketahui dengan menentukan:

  • Siapa target audience anda?
  • Apa masalah atau informasi yang audience anda inginkan?

Bagaimana pula dengan niche market?

Niche Market boleh diketahui dengan menentukan:

  • Siapa target market anda?
  • Apakah produk atau servis yang sangat diperlukan oleh market anda sepanjang 3-5 tahun akan datang?

Masih tidak faham lagi apa itu target audience atau target market? Sila baca post ini atau dapatkan WorkBook Cara Menentukan Target Audience secara percuma.

Berdasarkan kisah Nana tadi, produk apa yang sentiasa diperlukan oleh target marketnya(yang membela kucing) sepanjang 3-5 tahun nanti?

Salah satu jawapannya adalah makanan kucing. Nana boleh menjadikan Niche Market-nya adalah makanan untuk kucing Persian.

Selepas menjawab soalan-soalan tadi, lagi senanglah anda nak tahu Niche Market atau Micro Niche anda nanti.

Cara Mencari Niche Untuk Membuat Content

Adakah membuat content wajib mempunyai niche?

Tidak juga. 

Tetapi dengan adanya niche, mudah untuk kita mendapat idea untuk membuat content.

Cuba baca kisah Sally ini untuk mendapat gambaran bagaimana Sally mengetahui niche-nya.

Kisah Sally

Sally adalah seorang jurugambar dan Niche Marketnya adalah mengambil gambar pengantin.

Berbanding dengan orang lain yang mengambil pelbagai jenis gambar, Sally hanya fokus mengambil gambar pengantin sahaja.

Sehinggalah sampai satu tahap, Sally menjadi salah seorang jurugambar pengantin yang terkenal di Ipoh, Perak.

Beberapa tahun kemudian, Sally beralih arah menjadi seorang pengajar.

Dia membuat kelas dan mengajar jurugambar yang lain tentang cara membina bisnes fotografi mereka sendiri. Micro Niche Sally ketika ini adalah mengajar cara membuat bisnes fotografi yang khas untuk jurugambar sahaja. Target audience adalah jurugambar.

Selepas mengajar dan menolong beribu-ribu orang membuat bisnes fotografi, Sally menukar bidangnya sekali lagi.

Kali ini, Micro Niche-nya adalah mengajar peniaga kecil membuat bisnes secara online.

Apa yang kita boleh belajar dari kisah Sally ini?

Apabila Sally sudah menguasai satu niche yang spesifik, dia akan beralih ke niche yang lebih menguntungkan dirinya.

Ini bermakna, niche boleh berubah mengikut waktu. Jarang saya jumpa content creator yang fokus kepada satu niche sampai bertahun-tahun lamanya. Selalunya niche mereka berubah apabila mereka ingin menjana pendapatan daripada niche tersebut.

Cara Mencari Niche

Saya ingin kongsikan TIGA tips yang berkesan yang boleh membantu anda menentukan Niche, iaitu:

#1  Anda membuat content untuk siapa?

Apabila anda ingin menerangkan sesuatu topik, anda ingin tujukan kepada siapa?

Katakanlah, saya menulis content ini hanya untuk orang perempuan sahaja. Tidak kisahlah dalam lingkungan umur berapa pun.

‘Perempuan’ adalah target audience yang terlalu besar. Tolong elakkan memilih target audience yang terlalu umum seperti ini.

Anda perlu mengenalpasti dengan jelas ciri-ciri ‘perempuan’ yang akan menjadi target audience anda nanti.

Adakah perempuan itu seorang surirumah tangga? Adakah seorang guru? Adakah seorang peniaga online?

Semakin spesifik target audience anda, semakin mudah untuk anda menentukan niche.

#2 Apakah masalah yang anda boleh selesaikan?

Membuat content yang bagus biasanya mengambil masa yang lama. Kita kena peka tentang masalah audience dan membantu mencari jalan penyelesaian untuk mereka.

Jika saya membuat content untuk wanita surirumahtangga, antara masalah mereka ialah tidak mempunyai idea untuk memasak. Saya boleh bantu dengan memberi idea resepi yang mudah untuk mereka masak.

Jika saya membuat content untuk wanita yang berniaga online, mereka mungkin mempunyai masalah untuk sentiasa produktif. Saya boleh membantu mereka dengan memberi tips produktiviti dalam content saya nanti.

Anda boleh menentukan niche dengan hanya mengetahui masalah yang audience anda hadapi. Fikirkan apa masakah mereka.

#3 Apa yang membuatkan anda berbeza?

Setiap orang mempunyai keunikannya yang tersendiri dan beberapa pengalaman yang berbeza dengan orang lain.

Antara keunikan yang anda boleh tonjolkan adalah:

  • mempunyai ijazah, sijil atau anugerah yang diiktiraf.
  • mempunyai pengalaman sendiri.
  • mempunyai personaliti yang menarik.
  • tahu bagaimana membuat sesuatu agar mudah difahami.

Daripada keunikan inilah, anda boleh menentukan niche anda sendiri.

Cuba senaraikan 3 perkara yang membuatkan anda unik yang boleh membuatkan anda berbeza dengan pesaing yang lain.

Contohnya, niche saya adalah digital marketing. Apa yang membuatkan saya berbeza dengan orang lain? Saya suka menulis, mempunyai sijil digital marketing daripada Google dan saya suka mengajar. 

Disebabkan ketiga-tiga keunikan inilah yang membezakan saya dengan digital marketer yang lain.

Saya pun tidak sangka saya mempunyai keunikan tersebut. Saya pasti, anda pun mempunyai keunikan yang tersendiri yang boleh ditonjolkan.

Dari situlah, anda boleh membuat content yang unik berdasarkan niche pilihan anda nanti.

Memilih Niche Sebab Passion Atau Duit?

Bila kita sebut tentang ‘passion’, ada sesuatu yang kita minat ataupun yang kita tahu tentangnya dengan lebih mendalam.

Ada yang kata dengan adanya passion, itulah yang membuatkan orang bersemangat untuk bangun awal pagi. Betul ke? Tidak semestinya.

Passion juga boleh muncul apabila kita menghadapi masalah seperti masalah kesihatan. Kita mungkin banyak pengetahuan tentang masalah kesihatan kita tetapi itu bukanlah sesuatu yang kita minat. Betul tak?

Berlainan pula dengan ‘duit’. Sudah pasti apabila sebut tentang duit, orang akan menggambarkan sesuatu yang memberi keuntungan yang besar. Keuntungan sesuatu produk boleh dicapai jika mendapat banyak permintaan daripada orang ramai.

Sekarang anda sudah faham perbezaan passion dan duit, kan?

Sekarang saya nak menjelaskan dengan lebih mendalam tentang niche yang berkaitan kedua-dua ini.

Niche Kerana Passion atau Duit

Niche yang berdasarkan ‘passion’ selalunya membuatkan kita bersemangat atau rasa termotivasi membuat sesuatu. Contohnya, anda mempunyai passion yang tinggi dalam bidang muzik rock. Anda akan berasa sangat senang hati kalau membuat content tentang muzik rock.

Melakukan sesuatu yang kita minat(passionate) membuatkan kita berasa seronok untuk melakukan tugasan yang diberikan. Feel tu rasa lain. Selalunya apabila terlalu passionate, kita tidak memikirkan tentang duit sangat. Yang penting, asalkan kita bahagia.

Berlainan pula kalau kita membuat niche yang bukan sebab ‘passion’. Contohnya, anda tidak minat memasak. Tetapi, anda membuat content tentang masakan sebab anda tahu content tersebut mempunyai ramai pengikut.

Dalam situasi ini, anda mungkin lebih mengutamakan duit demi kelangsungan hidup(lagi banyak pengikut, lagi senang nak dapat duit). Kesannya, walaupun anda mendapat duit, anda berasa tertekan sebab melakukan pekerjaan yang anda tidak sukai.

Itulah ringkasan niche yang mengikut passion dan duit. Sekarang apa kekurangan kedua-dua niche ini?

Kenapa Niche berdasarkan passion selalu tidak berhasil?

Saya pernah membuat blog dan fokus kepada niche yang saya minat(passionate). Niche itu sangat jarang dibuat orang iaitu niche menjahit pakaian anak patung.

 

Dari pengalaman saya, antara kekurangan ketika menggunakan niche berdasarkan passion semata-mata ialah:

  • Affiliate links yang bekaitan dengan niche tersebut TIDAK banyak pilihan. Jadi, susah nak membuat pendapatan sampingan.
  • Susah nak mendapatkan traffic sebab tidak ramai yang berminat dengan niche tersebut
  • Tidak banyak rujukan untuk membuat content sebab persaingan pun tidak banyak.
  • Tidak banyak produk yang boleh dijual.
  • Topik evergreen yang boleh dikongsikan dengan pembaca adalah sangat terhad.

Sebab kekurangan inilah, saya mula sedar betapa pentingnya kita membuat niche yang menguntungkan dan menghasilkan. Perlu diingat, tidak semua niche berdasarkan passion boleh membuat duit. 

Buat apa kita membuat sesuatu yang kita minat selama berbulan-bulan tetapi tidak menghasilkan apa-apa. Sampai satu tahap, kita akan berasa bosan juga dan passion kita pun akan hilang.

Saya bukannya hendak menghalang anda menggunakan niche yang berdasarkan passion, tetapi pastikan kerja keras anda(membuat content) nanti membuahkan hasil. 

Kenapa Niche semata-mata kerana duit selalu tidak berhasil?

Niche berdasarkan duit sudah pasti memberikan keuntungan 99% kepada kita. Saya pun pernah mempunyai pengalaman membuat blog berdasarkan niche yang menguntungkan.

Tapi jauh di sudut hati saya, saya tidak berminat langsung dengan niche itu. Jadi, saya selalu mengelak untuk membuat kajian tentang niche tersebut.

Adakah niche seperti ini memang boleh membuat duit?

Tidak juga.

 

Dari pengalaman saya, antara sebab-sebab yang membuatkan niche berdasarkan ‘duit’ tidak berhasil adalah:

  • Saya tidak banyak pengetahuan tentang niche tersebut dan tidak pasti topik apa yang audience inginkan.
  • Content saya tidak menarik sebab saya tidak minat dengan topiknya.
  • Saya tidak tahu apa masalah yang selalu dihadapi oleh audience.
  • Banyak kajian perlu dibuat. Kalau malas mencari info, saya tidak dapat hasilkan apa-apa.

Biasanya, audience dapat merasakan niat sebenar kita ketika membuat content. Jika kita membuat sesuatu semata-mata duit, mereka boleh tahu yang kita bukannya nak membantu mereka sangat.

Kalau dari awal kita sudah berniat begitu, rezeki pun boleh menjadi sempit.

Memilih Niche Yang Terbaik

Nasihat saya, pilihlah niche yang anda ada pengetahuan tentangnya dan boleh memberikan hasil atau pulangan yang berkah.

Kalau anda kurang berminat dengan niche itu, tidak apa. Buatlah banyak kajian sehingga anda tahu apa yang audience anda inginkan.

Sebaik-baiknya anda mempunyai ilmu yang boleh memberi manfaat kepada orang lain. Lama-kelamaan rezeki anda akan muncul juga selepas anda membantu ramai orang.

Niche yang terbaik adalah niche yang memenuhi keinginan dan keperluan audience anda. Bukannya yang memenuhi keinginan anda seorang.

Idea Niche Yang Popular Untuk Membuat Content

Selepas anda sudah senaraikan niche pilihan anda, mungkin soalan kedua yang anda akan tanya ialah “Niche yang mana saya kena pilih ye?”.

Saya faham kenapa ada yang bertanya begitu. Kalau boleh kita pun taknak menghabiskan masa selama berbulan-bulan membuat content dalam niche yang tidak menghasilkan apa-apa.

Bukan senang nak membuat content. Betul tak?

Jadi, baguslah kalau dari awal lagi anda sudah berhati-hati.

Idea Niche Yang Menguntungkan (sepanjang Tahun 2021)

Idea niche ini saya dapat daripada kajian yang dibuat oleh diggitymarketing.

Tanpa membuang masa, saya kongsikan senarai 20 idea niche yang menguntungkan, iaitu:

  1. Agama dan Kerohanian
    Contoh: muallaf, Istiqamah, meditasi.
  2. Barangan Kemas
    Contoh: Cincin Kahwin, Emas.
  3. Gaya Hidup
    Contoh: Vintage, Survival Food, Minimalis. 
  4. Berita dan Pendidikan
    Contoh: Homeschooling, Mengajar Bahasa Mandarin.
  5. Kewangan
    Contoh: Uruskan Hutang, Kredit Kad.
  6. Katil dan Bilik Mandi
    Contoh: Tilam, Ubahsuai Bilik Mandi.
  7. Pertanian
    Contoh: Buah-buahan Tempatan, Berkebun di Rumah.
  8. Perubatan dan Kecantikan
    Contoh: Kencing Manis, Jantung, Sedut Lemak.
  9. Haiwan Peliharaan
    Contoh: GPS Collar, Stroller, Aksesori Kucing.
  10. Undang-Undang
    Contoh: Penceraian, Kesalahan Trafik, Cukai.
  11. Makanan dan Minuman
    Contoh: Mukbang, Jalan-Jalan Cari Makan.
  12. Sukan
    Contoh: Berbasikal, Hiking.
  13. Rumah/Tempat Tinggal
    Contoh: CCTV, Van Life, Pest Control.
  14. Bisnes
    Contoh: Dropship, Affiliate, Youtube.
  15. Pakaian dan Aksesori
    Contoh: Pakaian Muslimah, Pakaian ke Interview
  16. Peralatan Pejabat
    Contoh: Meja Berdiri, Monitor Stand, Kerusi Pejabat.
  17. Teknologi
    Contoh: Iphone, Android, Ipad.
  18. Automotif
    Contoh: Kereta Tempatan, Kereta Sewa.
  19. Masakan
    Contoh: Masakan Korea, Resepi Sepanjang Bulan Ramadhan.
  20. Seni
    Contoh: Menjahit, Melukis, Menyanyi.

Ini adalah contoh-contoh idea niche yang menguntungkan dan mempunyai bilangan audience yang tinggi sepanjang tahun 2021. Daripada idea-idea ini, anda boleh membuat content yang lebih spesifik untuk audience anda.

 

Kesimpulan

Mencari niche yang tepat untuk membuat content tidak boleh dibuat dalam sehari dua. Semoga tips yang saya kongsikan ini memudahkan pencarian anda tentang niche..

Ada sesetengah niche yang boleh memberi keuntungan kepada kita. Ada juga niche yang tidak boleh menjana pendapatan langsung.

Jadi, pilihlah niche yang bukan sahaja menguntungkan anda, tetapi menguntungkan audience anda juga.

Semuanya terpulang kepada diri masing-masing sebab anda yang akan membuat content nanti. Anda sahaja yang tahu niche yang terbaik untuk anda.

Semoga Bermanfaat!