Cara nak buat personal branding yang kuat di media sosial. Kalau anda selalu menonton video di Tiktok, anda pasti pernah terjumpa beberapa video peniaga online yang mengeluh tidak mendapat sales.

Ada yang membuat content menggunakan ‘suara tangisan’ sambil menunjukkan produk-produk yang tidak terjual. Ada juga yang memaksa setiap orang untuk membeli sebab dia sudah berbulan-bulan tidak mendapat sales.

Tapi saya tertarik dengan satu video ini. Dia bertanya…

“Kenapa kalau artis menjual apa pun mesti ada yang membeli? Kalau orang biasa kenapa susah sangat nak dapatkan seorang pembeli?”

Ramai yang memberi komen mengatakan setiap orang ada rezekinya masing-masing. Tapi bagi saya artis-artis tu dah ada personal brand yang kuat. Sebabtu ramai yang membeli.

Saya sudah melihat bermacam-macam jenis ragam orang membuat bisnes online. Lama-kelamaan saya sedar betapa pentingnya Personal Branding.

Saya percaya jika kita membina Personal Brand yang bagus, apa sahaja yang kita jual pasti laris(dengan izin Allah).

Kalau di Malaysia, siapa yang layak dijadikan contoh yang mempunyai Personal Brand yang kuat?

Bagi saya, Khairul Aming adalah salah seorang content creator yang mempunyai Personal Brand yang bagus. Tidak peliklah dengan kekuatan Personal Brand-nya, Sambal Nyet sangat laris dijual dalam masa singkat.

Hasil daripada membuat content secara konsisten selama 4 tahun, beliau berjaya membina personal branding yang kuat yang membuatkan ramai mengenalinya.

Adakah membina Personal Branding memerlukan masa 4 tahun?

Tidak juga. Lain orang, lain rezekinya. Mari kita dalami maksud sebenar Personal Branding itu.

Apa Itu Personal Branding?

Personal brand merupakan persepsi yang tertanam dan terpelihara dalam fikiran orang lain tentang kita. Maksud yang paling mudah adalah bagaimana anda mempromosikan diri anda sendiri ke orang lain.

Sekarang, saya akan senaraikan beberapa nama. Cuba anda jawab secara spontan apa yang terlintas di fikiran apabila menyebut nama-nama ini:

  • Tun Mahathir
  • Elon Musk
  • Remy Ishak
  • Sudirman Hj Arshad
  • Steve Jobs
  • Fazura
  • Christiano Ronaldo

Sudah tahu jawapannya, kan. Jika personal brand mereka sudah cukup kuat, sudah pasti jawapan anda tidak jauh berbeza dengan jawapan saya dan orang lain.

Contohnya, ketika saya mendengar orang menyebut nama Khairul Aming, yang muncul di fikiran saya adalah seorang content creator yang kongsikan resepi sahur/berbuka sepanjang bulan Ramadhan.

Dengan adanya personal branding, sudah tentu orang lain memberi kepercayaan yang tinggi ke kita dan membina persepsi yang positif secara berkekalan.

Tun Mahathir ‘Bapa Permodenan Malaysia’

Kenapa Personal Branding Penting?

Membina personal branding dapat memberi kesan yang positif untuk kehidupan, karier dan bisnes anda nanti. Antara kelebihannya adalah:

  • Dikenali ramai orang
    Apabila sudah terkenal, senang nanti kalau anda ingin menyebarkan kebaikan ke orang lain. Bukankah sebaik-baik manusia adalah yang memberi banyak manfaat ke orang lain?
  • Dianggap sebagai seorang yang mahir
    Mungkin anda tidaklah mahir sangat tapi sebab ramai yang memberi persepsi yang sedemikian, itulah kelebihan mempunyai Personal Brand yang kuat. Kesannya, ramai yang akan menjadikan anda sebagai tempat rujukan dan ‘kaunter pertanyaan’.
  • Dapat meningkatkan nilai jualan
    Kalau anda sudah terkenal dan ramai yang menggangap anda pakar, nilai jualan(value) anda pun akan meningkat juga. Kesannya, orang akan mudah mempercayai apa yang anda katakan, anda selalu diundang ke mana-mana, anda akan diajak bekerjasama dan perkara-perkara positif yang lain.

Disebabkan itulah, seorang content creator perlu membina Personal Branding. Kalau tidak, bagaimana content kita nak sampai ke orang lain dengan berkesan. Betul tak?

Ciri-Ciri Yang Perlu Ada Untuk Membina Personal Brand

Ada tiga ciri yang anda perlu bangunkan untuk membina personal brand, iaitu:

  1. Kemampuan diri
  2. Reputasi diri
  3. Prestasi diri

Kemampuan Diri

Kemampuan diri ialah anda mempunyai kebolehan melakukan sesuatu dengan baik dan mampu melaksanakan tugas dengan berkesan.

Kemampuan diri ini tergolong dalam tiga jenis karakter, iaitu:

  1. Minat
    Minat ialah suka melakukan sesuatu aktiviti walaupun tidak pandai melakukannya. Selalunya minat ini dijadikan sebagai hobi walaupun mungkin anda tidaklah mahir sangat melaksanakan hobi tersebut.

    Contohnya, saya suka menyanyi walaupun asyik mendapat markah yang rendah ketika berkaraoke. Itulah yang dimaksudkan dengan minat walaupun tiada bakat.
  1. Bakat
    Apa itu bakat? Bakat adalah kemampuan dan kemahiran yang anda miliki walaupun tidak menyukai aktiviti tersebut.
  2. Passion
    Passion adalah aktiviti yang anda minat, mempunyai bakat dan mempunyai kepakaran.
    Membina Personal Branding yang bagus itu dibina berdasarkan passion. Dari sinilah, akan membentuk tahap kemampuan diri yang tertinggi. Dengan adanya passion, anda akan konsisten melakukannya kerana minat dan mempunyai kemahiran dalam aktiviti tersebut.

Bayangkan kalau melakukan sesuatu aktiviti dengan sikap berpura-pura atau menjadi orang lain. Sudah pasti anda akan bakal terseksa. Di pertengahan jalan nanti, anda pasti kehabisan idea untuk membuat content kalau anda membuat sesuatu bukan berdasarkan kemampuan diri anda sendiri.

Oleh itu, binalah Personal Branding berdasarkan kemampuan diri melalui minat, bakat ataupun passion anda.

Kasut tidak muat sebelah. Barulah saya sedar saya hanyalah ‘minat’ menjahit =D

Reputasi Diri

Reputasi diri boleh diketahui melalui bukti atau pendapat orang tentang betapa hebatnya anda. Kalau anda menganggap diri anda boleh berada di dunia digital marketing, tunjukkan yang anda boleh melakukannya.

Dari situlah, anda akan mengikuti pertandingan yang berkaitan, masuk leaderboard, dapat sales dan lain-lain. Itulah bukti reputasi diri.

Kalau anda hebat memasak, buktikan yang anda mempunyai kebolehan membuat masakan yang enak. Kalau anda hebat sebagai seorang penyanyi, buktikan yang anda mempunyai album atau single.

Banyak orang di luar sana tidak mempunyai reputasi. Itulah yang disebut sebagai omong kosong. Berhati-hatilah kalau anda terjumpa seseorang mengaku mempunyai kepakaran macam-macam tetapi dia tidak mempunyai reputasi.

Chef Ammar sentiasa menonjol dengan reputasi dirinya.

Prestasi Diri

Prestasi diri boleh diketahui melalui kemampuan, kemahiran dan keberanian yang anda miliki. Ia merupakan tahap yang lebih tinggi daripada reputasi diri. jadi, tidak mungkin anda berprestasi kalau anda tidak mempunyai reputasi.

Contohnya, anda mengikuti pertandingan Malaysian Idol. Malangnya, anda tidak menjuarai pertandingan tersebut. Itulah yang disebut sebagai reputasi. Kalau anda menang sebagai juara, itulah yang dinamakan sebagai prestasi.

Antara contoh-contoh yang membuktikan prestasi diri adalah:

  • Biasiswa
  • Anugerah Dekan
  • Memenangi pertandingan anugerah tertentu(juara)
  • Mencapai sales target yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan
  • Menjuarai marathon
  • Berjaya membuat majlis amal kebajikan(mendapat sijil)
  • dan lain-lain.

Apabila kemampuan diri, reputasi diri dan prestasi diri ini dilakukan dengan baik, maka Personal Brand akan terbina dengan sendirinya.

Walaupun anda tidak pernah menyebut yang anda seorang copywriter atau tukang masak pun, orang lain akan tahu juga sebab yang berbicara adalah kemampuan, prestasi dan reputasi anda.

Persediaan Sebelum Membina Personal Brand

Sebelum itu, saya ingin mengingatkan anda yang saya akan fokus kepada cara membina Personal Brand di media sosial, bukan di media yang lain.

Bagi anda yang akan menjual atau membuat content di media sosial, ini merupakan persediaan awal sebelum membina Personal Brand nanti.

Inilah 7 persediaan penting sebelum membina Personal Branding yang anda perlu fahamkan dahulu, iaitu:

  1. Tentukan Value
  2. Mengetahui Kekuatan Diri
  3. Tonjolkan Keunikan
  4. Penampilan Menarik
  5. Tingkatkan Skill
  6. Tingkatkan Prestasi
  7. Promosikan Diri

#1 Tentukan Value

Value adalah prinsip yang anda rasakan betul dan harus dijunjung tinggi yang anda pegang sehingga kini.

Mungkin sekarang ini anda pun bingung dan tidak pasti bagaimana rupa value yang ada dalam diri anda, kan. Saya pun dulu macamtu juga.

Bagaimana caranya nak tahu value diri kita?

Keluarkan sekeping kertas dan sila jawab setiap soalan di bawah ini:

Apa yang penting dalam kehidupan anda sekarang ini?

Senaraikan sekurang-kurangnya 10 jawapan.
Contohnya seperti keluarga, disiplin, kewangan yang baik, komitmen, belajar skill tertentu dan sebagainya.

Jika tidak pasti, cuba lihat bagaimana anda menilai sesuatu berdasarkan cara anda komen si status orang lain atau apa jenis content yang anda buat sekarang ini? Ini semua merupakan gambaran dari value yang anda miliki.

Selain itu, mesej yang tersirat daripada post yang anda sampaikan di media sosial juga adalah salah satu gambaran value anda.

#2 Mengetahui Kekuatan Diri

Bahagian ini agak susah sikit sebab anda kena tahu siapa diri anda yang sebenarnya.

Mungkin sebelum ini anda menganggap diri bukanlah sesiapa. Apa kata cuba renungkan ayat dibawah ini.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”

Surah At-Tin, ayat 8

Sebenarnya setiap daripada kita adalah luar biasa. Hanya tinggal seberapa yakin kita dengan ayat Al-Quran tadi. Mungkin kita tidak sedar tentang perkara ini, kan. Jadi, sedarlah setiap manusia itu mempunyai potensi yang besar. Hanya anda sahaja yang tahu kelebihan anda sendiri.

Cuba luangkan masa sekejap sambil memikirkan siapa anda sebenarnya. Sudah pasti Allah menjadikan setiap manusia dengan maksud yang tersendiri.

Cara paling senang untuk mengetahuinya adalah dengan bertanya kepada diri sendiri dua soalan ini, iaitu:

  1. Anda ingin dikenali sebagai apa?
  2. Bagaimana orang lain mengenali anda?

Tuliskan sekurang-kurangnya 5 jawapan untuk setiap satu soalan.

Jika sudah ada jawapannya, ini bermakna anda sudah boleh mula membina personal branding anda berdasarkan jawapan tadi. Jika masih bingung, cuba buat ujian personaliti di 16personalities.com.

Perlu diingat, hasil jawapan yang anda terima di sana nanti bukanlah tepat 100%. Anda perlu selidik jawapannya menurut hati naluri anda sendiri.

#3 Tonjolkan Keunikan

Anda perlu mempunyai keunikan yang tersendiri dalam membina Personal Branding. Berapa besar keunikan yang anda boleh tonjolkan? Berapa ramai orang yang boleh menerima keunikan tersebut? Sekuat mana Personal Brand anda sampai boleh diingati oleh orang lain?

Untuk memudahkan mencari keunikan diri, sila jawab beberapa soalan ini:

  1. Apa yang membuatkan anda lebih menarik dan berbeza dengan pesaing yang lain?
  2. Apa yang membuatkan orang lain selalu ingat tentang anda?
  3. Apa yang membuatkan orang tertarik dengan anda ketika berjumpa pertama kali? Apa yang keluar dari mulut mereka?
  4. Apa yang membuatkan orang terpaku apabila melihat anda?

Kalau masih belum mampu menjawab soalan-soalan ini, itu bermakna anda belum memiliki keunikan yang cukup kuat.

Anda pernah mendengar ayat popular ini… “Hey, Whats up guys?”. Siapa yang terlintas di fikiran anda ketika mendengat ayat ini? Khairul Aming, kan.

Iye, kalau anda selalu melihat content Khairul Aming, anda mesti sudah sedia maklum di awal videonya dia menyebut “Hey, What’s up guys?”… betul tak?

Adakah itu satu kebetulan?

Saya rasa TIDAK. Khairul Aming mungkin sudah membuat plan untuk menyebut ayat tersebut di awal videonya. Dia bukan main asal sebut sahaja.

Itulah salah satu usaha Khairul Aming menonjolkan keunikannya.

Anda juga boleh menonjolkan keunikan dalam pelbagai bentuk seperti gambar profile, biodata, kata-kata yang sering muncul dalam setiap content anda, waktu anda publish content dan sebagainya.

Semua ini boleh jadikan sebagai suatu bentuk keunikan yang anda boleh tonjolkan.

Seperti Khairul Aming, “Hey, What’s up guys” adalah kata-kata yang sudah melekat di fikiran audiencenya.

Tapi saya cadangkan anda jangan meniru keunikan orang lain. Meniru sebijik sebijik akan membuatkan anda menjadi nombor dua atau sebagai pengikut yang nombor satu tadi.

Jadi, carilah sesuatu yang membuatkan diri anda berbeza dan unik. Dengan keunikan itulah yang akan membuatkan anda menonjol dan mudah menarik perhatian orang.

Fikirkan dari sekarang.

#4 Penampilan Menarik

Kalau kita tengok penyanyi atau pelakon, penampilan fizik memainkan peranan penting untuk karier mereka dalam membina Personal Brand.

Contohnya, pakaian yang mereka pakai, kereta yang mereka gunakan, barang kemas yang mereka kenakan dan lain-lain akan menjadi tumpuan.

Berbeza dengan dunia online atau menjadi content creator, penampilan fizik tidak menjadi keutamaan sangat. Yang penting adalah bagaimana anda mencantikkan penampilan media sosial anda. Bermula dari gambar profile, gaya penulisan, content yang dikongsikan dan lain-lain.

Macammana nak buat? Saya bukan designer?

Sekarang, anda tidak perlu lagi bersusah payah mengupah orang lain membuat design untuk media sosial. Anda boleh gunakan Canva yang boleh membuat pelbagai design secara percuma dan boleh digunakan untuk semua media sosial.

#5 Tingkatkan Skill

Jika anda ingin membina Personal Branding yang bagus, anda tidak akan terlepas daripada belajar benda baru seperti menambahkan skill(kemahiran) atau mengasah kemampuan yang ada.

Anda perlu belajar secara berterusan dan bertindak semampu yang boleh. Pastikan setiap kali anda belajar skill tertentu, tanyakan pada diri…

“Adakah skill ini akan mempengaruhi dan meningkatkan kepakaran yang anda ada sekarang?”

Jika tidak, tinggalkan.

Ramai orang mula berasa bosan ketika belajar sesuatu yang baru yang tidak mendekatkan dengan goal(matlamat) mereka. Sebaik-baiknya, mereka harus belajar sesuatu yang berkaitrapat dengan goal atau kemahiran mereka.

Sekarang, cuba jawab soalan-soalan berikut:

  • Apakah skill atau ilmu yang akan anda pelajari supaya kemampuan anda boleh dipertingkatkan?
  • Siapa yang layak mengajar tentang ilmu tersebut?
  • Bagaimana cara untuk praktis atau membuat latihan?
  • Apa yang sepatutnya anda buat?

Pastikan setiap jawapan yang diberikan adalah berkaitan dengan goal yang anda sudah tetapkan.

#6 Tingkatkan Prestasi

Cara cepat untuk menguatkan Personal Branding adalah dengan memberikan bukti portfolio atau prestasi anda. Kalau anda ingin fokus ke sesuatu bidang, tingkatkan prestasi di dalam bidang yang anda ingin tonjolkan.

Bagaimana caranya?

Cuba jawab soalan-soalan di bawah ini:

  • Apa pencapaian terbaik yang anda pernah capai?
  • Anda ingin dikenali sebagai siapa?
  • Anda ingin fokus dalam bidang apa?
  • Anda mahu menjadi nombor 1 dalam bidang apa?
  • Anda ingin dikenang sebagai apa setelah tiada nanti?
  • Apa yang terlintas di fikiran orang ketika nama anda disebut?

Dengan menjawab soalan-soalan ini, anda akan tahu prestasi yang anda perlu tonjolkan.

Tapi bagaimanana caranya untuk memperbanyakkan prestasi?
Selain daripada mengikuti peraduan atau tingkatkan skill tertentu, anda boleh mempamerkan kualiti produk yang bagus, servis yang baik, testimoni dari pelanggan, pengeposan produk yang cepat dan sebagainya.

Ini juga adalah contoh prestasi yang anda boleh lakukan ketika membina Personal Brand nanti.

#7 Promosikan Diri

Kebanyakan orang tidak biasa mempromosikan diri mereka sendiri. Biasanya akan terbit rasa ragu-ragu, malu dan tidak percaya diri.

Tapi pernah terfikir tak, kalau kita sendiri yang rasa malu atau ragu-ragu, macammana orang lain nak percayakan kita. Betul tak?

Tahukah anda, kebanyakan customer membeli produk bukan sebab produknya tetapi penjualnya? Mereka membeli sebab lebih percayakan orang yang menjual, bukan semata-mata membeli sebab produk.

Contohnya, kita boleh nampak sekarang peniaga dropship tumbuh bak cendawan selepas hujan. Ketika mereka menjual produk yang sama, kenapa hasil yang mereka dapat berbeza-beza?

Antara sebabnya ialah setiap penjualnya mempunyai Personal Branding yang berbeza.

Sebab itulah anda wajib mempromosikan diri anda sendiri. Jangan malu, jangan segan.

Apa yang membuatkan anda berjaya mempromosikan diri?

Apabila customer memerlukan sesuatu, pastikan nama anda yang pertama terlintas dalam pemikiran mereka.

Pastikan Personal Brand anda menjadi buah mulut dan perhatian orang. Seseorang yang mempunyai Personal Brand yang kuat akan mencuri tumpuan dari segi karyanya, sikapnya dan bahkan juga penampilannya.

Kalau tidak, anda hanya dianggap sebagai orang biasa dan sama seperti orang di sekeliling mereka.

Rasa rugi pula kalau anda sudah berusaha meningkatkan kemahiran di bidang tertentu dan mempunyai keunikan yang tersendiri tetapi anda masih malu-malu untuk ‘menjual diri’ sendiri.

Anda harus berbangga menceritakan tentang prestasi anda kepada orang lain. Bukan nak tunjuk riak ataupun sombong. Niatkan untuk menginspirasikan ramai orang.

Membina Personal Branding Di Media Sosial

Jadi, bagaimana strategi membina Personal Brand di media sosial? Disebabkan ramai menjadikan media sosial sebagai tempat membuat content, saya akan jelaskan strategi ini tidak kiralah anda menggunakan Facebook, Instagram atau Twitter. Strategi ini sesuai dipraktikkan di mana-mana platform media sosial.

1. Mengenali Target Market/Audience Di Media Sosial

Apa tujuan anda membina Personal Branding? Secara umumnya, terdapat dua cara untuk membina personal brand di media sosial, iaitu:

  1. berdasarkan passion atau perkara yang disukai.
  2. bertujuan untuk membuat jualan.

Ketika berada di media sosial, kebanyakan orang fokus kepada cara yang ke-2. Saya rasa anda pun mempunyai tujuan yang sama juga, kan?

Kalau tujuan anda adalah untuk berniaga, anda harus kenal dulu dengan target market/target audience berdasarkan produk yang anda jual.

Ebook Cara Borong Barang China di 1688

Contoh #1

Katakanlah, produk yang anda jual sewaktu mula membuat personal branding adalah menjual e-book ‘Cara Borong Barang China Guna Smartphone’. Sudah pasti, orang yang mahu berniaga secara online disasarkan sebagai target market anda.

Disebabkan anda sudah tahu siapa target marketnya, anda pasti ingin ‘add friend’ dari kalangan peniaga-peniaga online. Betul tak?

Rasa sia-sia sahaja kalau anda menjual buku bisnes tapi kawan-kawan atau followers anda bukan orang yang tertarik dengan dunia bisnes.

Memang tidak ada penjualanlah kalau macamtu.

Jadi, anda boleh membina Personal Brand sebagai penjual buku yang memahami teknik memborong barang di China menggunakan website 1688.

Kalau memang tujuan anda membina Personal Brand adalah untuk membuat penjualan, anda harus tahu siapa target market dan apa yang mereka inginkan.

Contoh #2

Katakanlah anda ingin menjual tudung labuh dan target marketnya adalah muslimah yang taat kepada agama. Sudah semestinya anda harus tahu produk apa yang mereka suka dan apa yang mereka inginkan.

Kalau sebagai content creator pula, sudah pasti content anda banyak berunsurkan content yang islamik.

Selepas anda sudah tahu apa yang target market anda suka dan apa keperluan mereka, kita teruskan ke point yang ke-2 pula.

2. Post Content di akaun personal

  • Akaun personal membuatkan audience berasa lebih dekat.
  • Perkara yang paling penting di media sosial adalah content atau isi kandungan.
  • Kalau anda menggunakan Facebook bererti isi content anda perlu berada di status atau di story. Kalau Instagram, content anda berada di feed, story ataupun reels.
  • Perlu diingat, content di media sosial merupakan CERMINAN diri kita.
  • Jadi, berhati-hatilah kalau anda membuat content di media sosial. Apa sahaja yang anda post akan menjadi brand di mata kawan-kawan atau followers anda.
  • Berdasarkan contoh#1 tadi, kalau anda menjual buku ‘Memborong barang di China’, sering-seringlah update status di Facebook anda yang berkaitan dengan bisnes online atau perniagaan di marketplace.
  • Mungkin pada awalnya anda akan berasa pelik sebab sebelum ini tidak pernah update apa-apa status tentang bisnes.
  • Tetapi disebabkan tuntutan tugas, akhirnya anda seolah-olah tahu semua perkara tentang bisnes.
  • Jadi, disebabkan tidak mahu menggunakan iklan berbayar, terpaksalah status media sosial anda berubah menjadi karakter yang lebih berkeyakinan.

Apa jenis content yang boleh dibuat?

  • Pastikan anda membuat content yang mempunyai kaitan dengan target market anda.
  • Kalau tidak, apa yang ditulis nanti seperti tiada kena mengena dengan mereka pula.

Contohnya:

  • Anda menjual biskut tapi isi content anda hanya ada joget-joget atau shopping ke sana sini. Audience pun bingung apa yang anda nak sampaikan.
  • Saya ingin menjual tudung labuh yang patuh syariah. Ini bererti content yang saya buat nanti adalah content yang berkaitan kehidupan wanita Islam seperti tausiah, muhasabah diri, tips muslimah dan seumpamanya.
  • Lagi elok anda kongsikan kisah-kisah yang berhubungan dengan pengalaman peribadi supaya pembaca lebih percaya dan berasa dekat dengan anda.
  • Bayangkan, target market anda adalah golongan emak-emak. Sudah semestinya content seperti memasak, tips kurus, membersihkan rumah dan sebagainya.

3. Memperbaiki profile di media sosial

Kenapa gambar profile dan biodata adalah penting di media sosial? Sebab disitulah penampilan utama kita. Apatah lagi kalau masih baru membina personal brand, kita perlu mendapatkan kepercayaan dari calon pembeli.

Jangan letakkan gambar profile yang tidak menggambarkan diri anda seperti meletakkan gambar kucing, pemandangan, makanan, gambar kartun dan lain-lain.

Nanti kalau kita ‘add friend’ dan tidak mendapat ‘approved’ yang banyak, besar kemungkinan disebabkan penampilan profile kita yang tidak menyakinkan.

Berbalik kepada contoh menjual buku tadi.

Selain membuat grup di Facebook, anda juga boleh menggunakan channel Telegram sebagai cara alternatifnya. Di sana anda boleh membuat banyak perkongsian tentang bisnes ataupun menjual buku.

Bagaimana caranya? Caranya adalah dengan menjadikan orang yang sudah percayakan anda di Facebook, diarahkan masuk ke grup atau channel di Telegram.

Selain membuat jualan, anda juga boleh membina hubungan yang dekat dengan audience. Dengan adanya Telegram, mereka boleh menerima content anda dengan lebih mudah.

4. Tunjukkan Kemampuan Diri

Dalam membina Personal Branding, kita perlu tunjukkan apa kemampuan diri kita sehingga calon pembeli mahu membeli produk kita.

Contohnya, kalau saya ingin membina Personal Branding sebagai seorang reseller/dropship, saya akan fokus menguasai kemahiran dalam bidang copywriting. Jadi, saya akan mendalami skill copywriting yang bagus.

Hasilnya nanti audience saya mungkin akan tertarik membaca copywriting saya dan membuatkan mereka ingin membeli.

Jadi, anda harus menggali dan memahami dengan lebih mendalam apa kemampuan diri anda. Silalah cari sampai dapat dengan menjawab soalan yang saya berikan sebelum ini.

5. Tonjolkan Prestasi

Kalau kita ingin membina Personal Brand, prestasi merupakan aspek yang paling penting dalam meningkatkan kepercayaan orang lain terutamanya target market kita.

Dengan syarat, jangan pula kita tonjolkan prestasi yang dibuat-buat ataupun menipu orang lain. Kalau buat macam itu, itu bukannya membina Personal Brand tapi membina ‘Pendosa Brand’.

Antara contoh prestasi yang anda boleh tonjolkan adalah menjadi Top 1 Dropshipper setiap bulan. Dengan adanya prestasi seperti ini, calon pembeli akan lebih percaya untuk membeli dengan anda.

Sebab itulah kebanyakan jenama yang menjual secara dropship, akan menonjolkan peniaga dropship mereka seperti ini jika mendapat penjualan yang tertinggi.

6. Berkarya

Mengikut istilah dunia internet, karya juga dikenali sebagai membuat content. Ada pelbagai bentuk karya yang anda boleh buat. Anda boleh berkarya dengan menulis buku, membuat video, menulis eBook, membuat design ataupun membuat kelas online.

Dengan adanya karya, nama anda akan dikenang dan dikenali ramai. Inilah perkara yang sangat penting dalam membina Personal Brand.

Contohnya seperti sekarang ini, post inilah antara karya saya. Walaupun dibuat secara percuma, inilah sebahagian daripada karya saya.

Walaupun anda seorang reseller, dropshipper, affiliate marketer… jangan lupa untuk berkarya ye.

7. Konsisten

Inilah point yang terakhir iaitu anda perlu konsisten. Personal Branding akan menjadi sia-sia kalau anda hanya bersemangat di peringkat awal dan tidak meneruskan usaha secara berterusan.

Bayangkan situasi ini. Bagaimana seorang reseller hanya berjaya menjual 1 baju dalam bulan pertama, akhirnya dengan izin Allah dia boleh menjadi top 1 Reseller dalam 2,3 bulan seterusnya?

Salah satu sebabnya adalah dia konsisten.

Contohnya, Khairul Aming. Beliau konsisten membuat content bertahun-tahun sepanjang bulan Ramadhan dan itulah antara sebab beliau berjaya sekarang.

Kesimpulan

Membina Personal Branding terutamanya di media sosial bukanlah seperti ‘touch and go’. Ia memerlukan proses dan masa yang panjang. Selain itu, anda perlu konsisten membinanya pada tahap fokus yang tertinggi.

Jadi, sekarang bukan masanya untuk anda berasa cemburu dengan pencapaian orang lain tapi tunjukkan yang anda juga boleh mencapai Personal Brand yang sentiasa diingati ramai.

Jadi. tunggu apa lagi. Bertindaklah dari sekarang!