Cara Ambil Ukuran Badan Untuk Buat Baju

Dalam jahitan, kita perlu tahu cara mengambil ukuran badan yang betul untuk membuat baju. Kalau tidak ambil ukuran nanti, baju tidak muat selepas bersengkang mata menghadap proses jahitan yang panjang.

Disebabkan masih beginner dan tidak mahu rasa kecewa yang teramat sangat, terpaksa jugalah belajar mengambil ukuran badan yang betul.

Kenapa Ambil Ukuran Badan?

Mengambil ukuran badan yang tepat sebelum menjahit menggunakan mesin jahit dapat mengelakkan beberapa masalah yang besar berlaku ketika menjahit nanti.

Ketika saya mula belajar menjahit, saya banyak menggunakan pola yang sudah siap untuk membuat baju sendiri. Saya banyak menggunakan pola dari buku jahitan Jepun.

Beberapa buku jahitan Jepun dalam simpanan saya.

Jika anda membeli pola seperti ini, anda perlu tahu saiz ukuran badan yang TEPAT sebelum menggunakan saiz yang ada di pola.

Setiap pola mempunyai saiz ukuran yang berlainan. Jadi, anda perlu berhati-hati ketika memilih saiz di pola supaya sesuai dengan ukuran badan anda.

Di sini, saya akan tunjukkan cara mengukur badan yang tepat untuk orang dewasa.

Mengukur Badan Orang Dewasa

Sebelum membuat ukuran, pastikan anda menyediakan alat jahitan seperti berikut:

  • Pita pengukur baju: Kita akan menggunakan ukuran inci.
  • Rekod ukuran badan: Siapkan buku nota dan pen.
Pastikan anda menggunakan pita pengukur dari UK untuk mendapatkan ukuran yang tepat.

Ukuran Leher:

Ambil tali pengukur dan ukurkan di sekeliling leher.

Ukuran Bahu:

Pastikan anda dapat rasa tulang di hujung kedua-dua bahu. Kemudian, ukurkan dari tulang ke tulang secara lurus di belakang badan.

Ukuran Labuh Tangan:

Diukur dari tulang bahu sehingga ke pergelangan tangan(mengikut labuh yang dikehendaki).

Ukuran Besar Lengan:

Diukur ngam-ngam di sekeliling lengan, di bahagian atas siku. Jangan ukur terlalu ketat.

Ukuran Pergelangan Tangan:

Diukur ngam-ngam di pergelangan tangan. Jangan ukur terlalu ketat.

Ukuran Lubang Lengan:

Diukur dengan meletakkan tali pengukur di bawah ketiak dan tarik ke atas bahu.

Ukuran Bukaan Tangan:

Saiz diukur mengikut saiz pergelangan tangan yang boleh dilepaskan ke bawah atau mudah untuk ditarik ketika mengambil wudhu’.

Ukuran Bahu Ke Mercu:

Ukurkan secara lurus dari pangkal leher hingga ke mercu dan pastikan anda tidak menekan tali pengukur ketika mengambil ukuran.

*Mercu adalah bahagian dada yang paling tinggi a.k.a ‘puting’.

Ukuran Mercu ke Mercu:

Diukur secara lurus dari mercu ke mercu. Jangan tekan tali pengukur ke badan. Ambil jauh sedikit pun tidak mengapa.

Ukuran Keliling Dada:

Ukur sekeliling dada dan pastikan pita pengukur adalah lurus dan melalui mercu. Pastikan badan orang yang diukur memakai baju dalam(bra).

Ukuran Keliling Pinggang:

Ikat pinggang munggunakan tali. Bahagian yang boleh diikat dengan tali itulah yang kita perlu ukurkan untuk mendapatkan ukuran di sekeliling pinggang.

*Jangan bukakan tali sehingga semua ukuran sudah diambil.

Ukuran Labuh Tengah Belakang:

Diukur di bahagian belakang badan dari tengkuk leher sehingga tali yang diikat ke pinggang tadi.

Ukuran Labuh Baju:

Labuh baju ditentukan oleh customer. Selepas membuat tanda, barulah anda mengukur dari tengkuk leher sehingga ke paras labuh yang ditanda.

Ambil ukuran satu di bahagian depan(melalui bahagian mercu) dan satu lagi di bahagian belakang badan. Pastikan tali pengukur tidak ditekan ke badan. Ukur lurus sahaja.

Ukuran Perut:

Biasanya berada di bahagian pinggang ketika kita memakai seluar ataupun kain. Diukur ngam-ngam di sekeliling perut dan selari dengan garisan pusat.

Ukuran Keliling Punggung:

Pegang tali pengukur di bahagian tepi badan dan gerakkannya ke bawah badan. Ukuran yang paling besar itulah ukuran untuk keliling punggung. Jika tidak pasti, ulang semula dan cek ukuran yang paling besar tadi.

*Kalau ukuran perut lebih besar daripada ukuran punggung, ambil ukuran perut sebagai ukuran keliling punggung.

Ukuran Dari Pinggang ke Punggung:

Minta customer duduk di kerusi dan ukurkan dari tali yang diikat ke pinggang tadi sehingga ke kerusi(bawah punggung).

Ukuran Dari Pinggang Ke Lutut:

Diukur dari tali yang diikat di bahagian pinggang tadi sehingga ke bahagian bawah lutut.

Ukuran Dari Pinggang ke Tumit:

Diukur secara lurus dari tali yang diikat di pinggang tadi sehingga ke lantai. Kemudian, tolakkan 1 inci dari ukuran tadi dan itulah ukuran dari pinggang ke tumit.

*Pastikan buka selipar dan kasut.

Ukuran Ketinggian Mengikut Kasut Tumit:

Kalau membuat dress, pastikan dress itu menutup kasut. Ketinggian tumit kasut diukur mengikut kasut tinggi yang dipakai oleh customer nanti. Jika dia akan memakai kasut tinggu 5 inci, tambahkan sahaja ukuran 5 inci.



Kesimpulan

Dengan mengikuti cara ini, masalah seperti baju tidak muat, terlebih besar atau kecil tidak akan berlaku.

Jika membeli baju secara online, sila rujuk carta saiz baju itu dan bandingkan dengan ukuran badan anda yang sebenar. Jangan ikut saiz S, M atau L tanpa membuat ukuran yang betul.

Seperti pola yang sudah siap, setiap baju yang sudah siap dijahit mempunyai ukuran baju yang berlainan untuk setiap saiz.

Dengan mengetahui cara membuat ukuran badan ini, kita dapat memilih baju yang tepat dan sesuai walaupun dibeli secara online. Semoga Bermanfaat.