15 Nasihat Sebelum Mula Menjahit

Harini nak kongsikan nasihat untuk beginner sebelum mula menjahit atau sebelum pergi ke kelas menjahit. Tapi sebelum tu, saya nak kongsikan satu kisah.

Suatu hari, kawan saya baru membeli mesin jahit dan dia bercadang nak menjahit di atas meja makan.

Dia dah bayangkan setiap petang dia akan kemaskan meja, letakkan mesin jahit, siapkan projek jahitan dan kemudian kemaskan balik barang jahitan tadi sebelum bersiap untuk menyediakan makan malam.

Dia sudah membayangkan semuanya akan berjalan dengan lancar. Iyela, dah ada mesin jahit, kan.

Sejak dia mula menjahit, dia sekeluarga tidak dapat makan di atas meja makan tersebut selama 2 malam! Rupa-rupanya realitinya tidak berlaku seperti yang dia bayangkan.

Saya juga pernah membayangkan menjahit adalah satu aktiviti yang senang dan yakin sangat nanti semuanya OK. Tengok-tengok, saya pun senasib dengan kawan saya tadi.

Penat, sakit badan dan macam-macam kesan yang saya dapat rasakan selepas menjahit. Sejak itu, selepas saya menyiapkan satu projek jahitan, saya akan berehat selama beberapa hari sebelum meneruskan projek jahitan yang lain.

Saya harap ada yang memberitahu saya lebih awal tentang keadaan sebenar dunia jahitan ini. Kalau anda masih beginner, jangan lepaskan peluang membaca beberapa nasihat menjahit di dalam post kali ini.

Semoga setiap nasihat ini boleh mengurangkan kesilapan dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku ketika anda mula menjahit nanti.

#1 Ada Pelbagai jenis jarum untuk menjahit

Ketika saya mula-mula membeli mesin jahit, saya baru sedar betapa banyaknya jenis jarum yang akan digunakan di mesin jahit ini. Tetapi, saya tidak jumpa sesiapa yang boleh menerangkan secara teliti maksud setiap kod jarum di mesin jahit.

Yang saya selalu dengar orang memberi nasihat gunakan jarum emas kalau menjahit kain jenis stretchable,.

jarum emas
Jarum emas…jarum yang sesuai untuk menjahit lycra atau kain yang ‘stretchable.’

Saya banyak belajar tentang jarum jahitan ini melalui buku manual mesin jahit. Lain mesin jahit, mungkin lain jenis jarum jahitannya.

Jadi, buku manual mesin jahit jangan dibuang. Simpan elok-elok untuk dijadikan rujukan nanti.

Selain itu, jarum jahitan perlu ditukar sekerap yang mungkin supaya jarumnya tidak tumpul. Jangan gunakan jarum yang sama sahaja. Cuba cek sekarang, manalah tahu jarum sudah tumpul.

#2 Setiap Orang Membuat Kesilapan

Saya harap ada yang menasihatkan saya yang kesilapan ketika menjahit itu adalah salah satu proses pembelajaran, bukan menunjukkan kekurangan diri. Dari kesilapan itulah kita boleh menjahit lebih baik daripada sebelumnya.

Ketika pertama kali menggunakan mesin jahit, saya rasa teruk betul sebab lepas satu, satu kesilapan yang saya buat. Berbulan-bulan jugalah saya tak sentuh mesin jahit selepas kejadian itu.

Suatu hari, saya tengok youtube channel dari seseorang yang pandai menjahit. Dalam videonya, dia sendiri mengaku dia pun selalu membuat silap dan dari kesilapan itulah dia boleh menjahit dengan baik.

Jadi, kalau anda pertama kali menjahit, jangan mengharap sangat hasil jahitan anda akan menjadi sempurna. Mungkin ada beberapa kesilapan yang akan anda buat. Fikir positif… itulah cara kita nak belajar.

“If you’re making mistakes, it means you’re out there doing something.”

#3 Ada yang menjahit kerana minat sahaja

Nasihat yang ketiga, anda kena tahu tidak semua orang menjahit sebab nak duit semata-mata. Ada yang menjahit hanyalah untuk keluarganya sahaja dan ada juga yang menjahit kerana minat(hobi).

Biasanya yang hanya sekadar MINAT, dia tidak akan menjahit untuk orang lain. Tujuan dia menjahit hanyalah untuk menghilangkan stress. Orang yang menjahit kerana hobi ini kita tidak boleh memaksa dia menjahit sesuatu untuk kita.

Lain pula kalau orang yang menjahit kerana ingin mengambil tempahan baju. Mereka menjahit untuk menampung kehidupan harian.

Kita pun janganlah terlalu berkira sangat dengan tukang jahit. Apatah lagi kalau jahitannya sangat kemas. Mungkin disebabkan jahitan yang kemas itulah hasil daripada dia belajar daripada beberapa kesilapan yang lalu dan pergi ke kelas jahitan yang mahal. Nak meningkatkan kemahiran bukannya murah.

#4 Jaga postur badan ketika menjahit

Saya selalu terlupa betapa pentingnya nasihat ini. Sebelum ini, tidak ada yang menasihatkan saya yang menjahit ini boleh ‘menyakitkan badan’…haha!

Saya sedar, badan saya akan sakit setiapkali saya melakar pola atau memotong kain di lantai. Saya memang tidak ada meja menjahit yang besar.

Kalau anda ada meja menjahit yang khas untuk memotong dan membuat pola, badan anda boleh sakit-sakit juga kalau tidak menjaga postur badan. Ini terjadi terutamanya ketika menggunakan mesin jahit. Kita akan banyak menunduk dan duduk dalam posisi yang sama dalam waktu yang panjang.

Sesekali cubalah ambil masa untuk berehat. Setiap 30 minit, anda berehat sebentar selama 5 minit untuk makan biskut atau ‘stretching’. Badan kita pun nak pakai lama.

Postur badan yang betul ketika menjahit.

#5 Menjahit Secara perlahan-lahan

Nasihat yang kelima adalah menjahitlah secara perlahan-lahan… slow and steady. Bila kita menjahit terlalu cepat atau terburu-buru, banyak kesilapan yang akan kita buat nanti. Benda yang kita tersilap itulah yang akan melambatkan jahitan kita.

Jika masih beginner atau menjahit kerana minat, menjahitlah secara berhati-hati. Kita akan rasa lebih tenang dan dapat mengelakkan beberapa kesilapan seperti menjahit kain terbalik, jahitan longgar atau sebagainya.

Tapi jangan menjahit perlahan sangat kalau anda mengambil tempahan baju raya! Nanti tak sempat pula orang tu nak pakai bila raya nanti… haha!

#6 bersihkan mesin jahit sekerap mungkin

Jarang saya dengar orang memberi nasihat ini.

Setiap kali selepas menjahit, ramai yang tidak sedar ada serpihan kain yang melekat di bawah tapak mesin jahit.

Sebab itulah setiap mesin jahit diberi berus kecil secara percuma untuk membersihkan tapak jahitan tersebut.

nasihat sebelum menjahit
Bersihkan bahagian ini sekerap yang mungkin.

#7 berehatlah kalau dah rasa Terlalu penat

Ada yang sanggup tidak makan atau tidak tidur hanya kerana nak menyiapkan jahitan. Jangan buat macamtu! Mesin jahit tidak akan lari kemana-mana kalau kita berhenti sekejap.

Nasihat yang ketujuh ini adalah kalau anda mengambil tempahan menjahit, buatlah satu jadual supaya dapat menjahit pada waktu yang ditetapkan. Jangan ambil terlalu banyak tempahan yang anda sendiri tahu tidak mampu untuk menyiapkannya.

Sebenarnya, menjahit adalah satu aktiviti yang menyeronokkan. Kalau anda menjahit sampai tidak mempunyai masa untuk berehat, dari mana datangnya keseronokan itu? Lagipun kita bukannya robot dan buat kerja apa pun, kita masih perlukan rehat yang secukupnya.

#8 belajar menjahit bukan setakat belajar guna mesin jahit

Ramai yang menganggap aktiviti menjahit hanya menggunakan mesin jahit. Mereka tidak tahu apa yang perlu dibuat sebelum mula menggunakan mesin jahit.

Antara persediaan yang perlu dibuat sebelum menggunakan mesin jahit adalah:

  1. Tentukan projek jahitan yang ingin dijahit… Nak jahit baju? Beg? Tudung?
  2. Membuat ukuran pola.
  3. Memilih fabrik yang sesuai.
  4. Memotong kain.
  5. Memilih warna benang yang sepadan.
  6. Pastikan benang bobbin adalah cukup.
  7. Letakkan minyak ke mesin jahit.
  8. Akhirnya, barulah boleh mula menjahit!

Kita bukan sahaja perlu belajar bermacam-macam teknik jahitan, teknik-teknik yang disebutkan tadi pun kita perlu belajar dan buat dengan cara yang betul.

Memotong kain pun memerlukan ilmu.

#9 Test Jahitan dulu sebelum Menjahit betul-betul

Memang seronok ketika mula-mula memegang mesin jahit. Rasa macam tak sabar-sabar nak menjahit terus.

Bila orang beri nasihat supaya uji jahitan sebelum menjahit, ada yang rasa macam itu adalah satu penghalang untuk berkreatif pula.

Kalau kita menjahit terus kan senang. Betul tak?

Tapi kita lupa, penghalang sebenar kita adalah kita terpaksa membuka semula jahitan yang silap.

Jadi, menguji jahitan adalah salah satu tips berguna yang boleh mengurangkan kesilapan dan membuatkan jahitan menjadi lebih kemas. Bukan lama pun nak test, selalunya beberapa minit sahaja.

Bagaimana kita nak test jahitan? Ikut langkah demi langkah berikut:

  1. Potong serpihan kain daripada kain yang kita ingin gunakan.
  2. Lipatkan kain tersebut.
  3. Jahitlah mengunakan jahitan lurus dan zigzag.
  4. Akhir sekali, lihat di kedua-dua belah bahagian kain.

Adakah jahitan kita kemas? Kalau tidak, laraskan bahagian tension atau lebar benang sehingga anda mendapat jahitan yang memuaskan.

Lipat dan test(uji) jahitan anda sebelum membuat jahitan yang sebenar.

#10 menjahit perlukan modal yang besar

Ketika mula-mula menjahit, saya dah rancang nak menjahit baju sendiri. Saya rasa kalau saya jahit baju sendiri, saya dapat jimat duit.

Rupa-rupanya sangkaan saya meleset.

Sebenarnya, menjahit baju sendiri lebih mahal daripada membeli baju yang sudah siap.

Kebanyakan alat-alat jahitan seperti gunting fabrik, mesin jahit dan kain bukannya murah(kalau nak beli yang tahan lama).

Saya harap ada yang memberitahu saya tentang mahalnya hobi menjahit ini.

Alat jahitan yang mahal mempunyai kualiti yang sangat baik walaupun kadang-kadang buat kita termenung.

#11 Mempunyai tempat menjahit yang luas

Seelok-eloknya, anda perlu mempunyai sebuah bilik yang dibuat khas untuk menjahit.

Percayalah, bilik anda akan nampak seperti tongkang pecah setiapkali selepas siap menjahit. Sebab itulah kita perlukan persekitaran yang luas supaya senang sikit nak mengemas nanti.

Kalau nak memotong pola yang besar pun kita perlukan persekitaran yang luas juga. Kadang-kadang meja pun tidak cukup luas untuk memotong pola dan kain.

#12 Faham Tentang Grainline

Jangan cuba-cuba mula menggunakan gunting sebelum anda faham tentang grainline kain.

Grainline adalah arah ira kain melintang dan biasanya pola akan diletakkan mengikut arah ira kain ini.

Grainline yang bertanda anak panah.

Nasihat ini sangat penting untuk difahamkan sebab setiap arah kedudukan kain yang kita potong nanti boleh mengubah bentuk pakaian kita. Pendek kata, kita tidak boleh main gunting di mana-mana arah yang kita suka.

Untuk memahami lebih mendalam tentang grainline, saya sudah menerangkannya secara mendalam dalam post sebelum ini.

#13 Jangan tiru bulat-bulat saiz di pola pakaian

Nasihat ini ditujukan kepada anda yang suka menjahit menggunakan pola yang sudah siap seperti pola dari buku jahitan jepun, simplicity, vogue, burda dan jenama pola yang lain.

Biasanya, sebelum membeli pola kita akan cek saiz dulu, kan. Contohnya, kalau dah biasa pakai saiz M, sudah semestinya kita akan ambil saiz M juga. Saya selalu buat macamtu. Ukuran saiz di pola itu pun saya tidak ukur betul-betul seperti yang diberikan. Yakin sangat sama saiz dengan mat saleh… haha!

Selepas dah siap buat baju, mulalah rasa pelik kenapa kebanyakan baju yang saya buat tidak fit betul-betul. Cek punya cek… rupa-rupanya setiap jenama pola mempunyai ukuran yang berbeza walaupun saiznya sama.

Contohnya, pola Simplicity saiz M tidak semestinya sama dengan saiz M di pola Burda. Jauh sekali nak dibandingkan dengan pola di buku jahitan jepun yang saiznya memang mengikut saiz badan orang Asia.

Jadi, anda perlu menentukan saiz pola yang sepadan dengan ukuran badan anda sendiri sebelum mula memotong pola. Jangan sesekali ambil bulat-bulat sebelum menyemak ukurannya.

Salah satu pola yang terdapat di dalam buku jahitan jepun.

#14 menggosok Kain banyak Menggunakan Masa dan tenaga

Saya harap ada yang beritahu saya yang separuh masa yang kita ambil untuk menjahit banyak digunakan untuk menggosok dan memotong kain.

Sebenarnya, setiap kali sebelum menjahit anda perlu menggosok kain menggunakan seterika yang bagus(ini pun mahal juga) supaya mudah untuk menjahit nanti.

Jangan ingat menjahit hanyalah perlu menjahit sahaja.

Bagi yang tidak suka menggosok baju, mesti rasa tugasan inilah yang paling menyeksakan.

#15 Buat jadual

Nasihat yang terakhir.

Bagi yang baru belajar menjahit, pasti tidak mampu untuk menghabiskan satu projek jahitan dalam masa sehari. Anda boleh membuat jadual dengan meluangkan masa satu sehingga dua jam untuk melakukan aktiviti jahitan ini.

Anda boleh membahagikan setiap tugasan mengikut waktu tertentu. Anda mungkin memerlukan masa berminggu-minggu untuk menyiapkan satu projek jahitan. Percayalah, persekitaran akan nampak bersih dan fikiran akan menjadi tenang selepas itu.

Apa kata, mulakan dengan memotong pola pada hari pertama. Gunakan masa satu sehingga dua jam untuk memotong pola dahulu.

Kalau masih tidak siap, anda boleh sambung ke hari esok dan hari seterusnya. Pastikan anda menjahit selepas semua kerja rumah sudah dibereskan. Anggaplah menjahit sebagai sebuah marathon dan bukan larian pecut.

Saya sendiri pun pernah rasa susah nak berhenti menjahit. Tapi selepas ada jadual, dapatlah juga buat aktiviti lain dengan tenang.

Kesimpulan

Kepada sesiapa yang baru belajar menjahit, kuatkanlah mental sebab ada teknik jahitan yang memerlukan latihan berkali-kali.

Berehatlah kalau rasa fikiran sudah terlalu berat. Banyak kesilapan akan berlaku bila kita terlalu penat.

Kain dan pola baju tidak akan rosak kalau kita tinggalkannya dalam masa sehari. Tidak ada salahnya nak berhenti berehat sebelum sambung projek jahitan yang tergendala tu.

Susah-susah dulu, senang-senang kemudian. Yang pasti, menjahit adalah satu hobi yang menyeronokkan kalau kita sudah bersedia dengan apa yang bakal terjadi.