Niche Apa Yang Sesuai Untuk Membuat Content?

Niche Apa Yang Sesuai Untuk Membuat Content?

Mesti ada yang pernah tertanya-tanya…

“Macammana nak cari niche yang tepat untuk bisnes ataupun media sosial?”

Baru-baru ini, saya mengikuti kelas bisnes online untuk mengetahui masalah yang selalu dihadapi oleh peniaga online dan content creator di Malaysia.

Pernah sekali tu, cikgu yang mengajar sudah menerangkan dengan jelas tentang bisnes online dari A sampai Z dan bila dia bukakan soalan, ramai betul yang bertanya….

“Niche tu apa, cikgu?”

Cikgu tu mesti tepuk dahi kat belakang kamera! Penat kot dia terangkan dari awal.

Sebenarnya, menentukan NICHE adalah perkara pertama sekali yang kita kena buat sebelum kita melakukan perkara yang lain. Maksudnya, kita WAJIB menentukan niche sebelum kita mula membina website, media sosial, mencipta produk, membuat content dan sebagainya.

Baru-baru ini, saya mendapat idea macammana membuat orang senang faham tentang niche tetapi sebelum itu, saya nak terangkan sedikit mengenai niche. Mungkin ada yang tidak tahu.

Apa itu Niche?

Niche adalah sebuah industri, bidang atau kategori tertentu yang fokus kepada target market yang spesifik. Seorang content creator biasanya akan membuat content mengikut kemahuan target market berdasarkan niche yang telah ditetapkan.

Untuk mengetahui contoh-contoh niche, sila dapatkan senarai ini:

Sebagai seorang content creator, pastikan niche yang kita pilih mempunyai:

  • Target market yang tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil.
  • Boleh menyelesaikan masalah orang.
  • Ada permintaan dari pasaran.
  • Boleh mendapat keuntungan dalam jangkamasa yang panjang.
  • Yang penting, kita passionate(minat) atau mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut.

Contohnya, dalam sektor kesihatan ada bermacam-macam jenis kegiatan yang boleh dilakukan seperti membuat supplement, membina klinik, gym, tempat bekam dan sebagainya.

Mungkin agak susah untuk kita menonjol di niche ini sebab sudah banyak brand yang popular menggunakannya.

Tapi, kalau kita mengecilkan lagi niche “supplement” ke “untuk menurunkan berat badan, inilah yang dipanggil sebagai micro-niche.

Apa Itu Micro-Niche?

Micro-niche ialah niche yang telah dikecilkan menjadi lebih spesifik. Ini adalah contoh-contoh micro-niche:

Berdasarkan gambarajah diatas, micro-niche ialah Private Health Insurance UK. Manakala Private Health Insurance UK for the Over 60s adalah target marketnya.

Micro-niche: Kulit Berjerawat.

Target Market: Gadis remaja yang kulit berjerawat.

Micro-niche: Baju Kurung.

Target Market: Cikgu wanita yang memakai baju kurung.

Cara Menentukan Niche

Ada 5 cara untuk menentukan niche yang tepat:

Pertama, Merenung Diri Secara Mendalam.

Kalau ikut bahasa gurauan, ini juga boleh disebut sebagai ‘bertapa’. Kita kena jauhkan diri dari perkara-perkara yang mengganggu konsentrasi kita seperti media sosial, hp, tv ataupun orang-orang yang negatif. Paling tidak pun cuba mengurungkan diri buat seketika paling kurang dalam masa seminggu atau sebulan untuk memikirkan niche yang tepat dan sesuai dengan diri kita.

Niche pilihan kita mestilah muncul secara semulajadi mengikut gol/matlamat, minat dan value kita. Niche yang terbaik datangnya dari pengalaman kita sendiri.

Cuba tanya soalan-soalan ini kepada diri sendiri:

  • Apakah skill yang pernah saya tingkatkan?
  • Apakah perkara yang saya suka buat walaupun tidak diberi bayaran?
  • Apakah perkara yang saya seronok lakukan sampai tidak sedar masa cepat berlalu?
  • Apakah masalah yang saya ingin selesaikan untuk diri sendiri dan orang lain?
  • Sekiranya saya mempunyai banyak masa dan duit, apa yang akan saya lakukan?

Yang penting, kita mencari niche yang sesuai berdasarkan aktiviti yang kita minat dan kita boleh menikmati prosesnya dalam jangkamasa yang panjang.

Kedua, Tahu Target Market Yang Tepat.

Berdasarkan topik micro-niche di atas, sudah pasti kita boleh agak macammana nak mencari target market, kan?

Kalau masih tidak pasti, ada beberapa cara yang boleh kita buat untuk mencari target market iaitu dengan membaca komen-komen di Facebook, Twitter, Forum ataupun di Instagram dan lihat apa yang mereka selalu bicarakan.

Ketiga, Mengkaji Pesaing(Competitor).

Tidak kisahlah niche apa pun yang kita pilih, kita sepatutnya mengkaji apa yang pesaing(dari niche yang sama) lakukan. Melalui pesaing kita tadi, kita boleh tahu:

  • Niche ini mempunyai market ataupun tidak?
  • Adakah peluang untuk saya menonjol di dalam niche ini?
  • Apakah perkara yang saya perlu lakukan supaya nampak berbeza dengan pesaing saya?
  • Apakah content yang bermanfaat yang selalu dikongsikan oleh pesaing saya?

Dengan menjawab soalan-soalan ini, memudahkan kita untuk mengambil peluang membuat content atau produk yang lebih baik lagi.

Keempat, Kenalpasti Niche Yang Menguntungkan.

Pastikan niche yang dipilih boleh memberi keuntungan dalam jangkamasa yang panjang. Mengikut tips pakar di luar negara, kita perlu membuat carian kata kunci di Google untuk mendapatkan hasil carian yang menguntungkan, sekurang-kurangnya 10,000 hasil carian.

Mengikut pengalaman saya, disebabkan kita tinggal di Malaysia dan menggunakan Bahasa Malaysia, carian kata kunci di Google Malaysia tidak dapat memberi jawapan yang tepat. Jadi, kita kena banyak mencarinya di Facebook Group atau youtube channel yang berkaitan dengan niche kita.

Google Trend pun tidak banyak membantu sebab berita yang trending di Malaysia selalunya berkaitan kisah politik dan kelab-kelab bola sepak.

Dengan membuat kajian di Facebook Group akan memberi kita beberapa petunjuk mengenai target market yang menguntungkan. Sebaik-baiknya kita perlu mengecilkan niche(micro-niche) mengikut pasaran samaada mereka sanggup membayar produk atau perkhidmatan kita suatu hari nanti.

Kelima, Menguji Content Sendiri

Sebagai seorang content creator, kita perlu kongsikan content yang bermanfaat dan tidak boleh menjual produk secara melulu. Sebaik-baiknya setiap 7 content yang bermanfaat, hanya 1 content yang menjual produk atau perkhidmatan.

Kita boleh menguji sambutan target market kita terhadap content yang dibuat melalui platform media sosial. Gunakan masa sekurang-kurangnya satu bulan untuk membuat content secara konsisten. Jika followers kita meningkat, ini bermaksud idea dan niche tersebut ada peluang untuk berkembang dan boleh memberi keuntungan.

Setelah mengikuti tips dan strategi yang diberikan, kita tunggu apa lagi…. bertindaklah sekarang! Jangan lupa untuk tetap konsisten membuat content dan nikmatilah prosesnya. Semoga Bermanfaat.